Nak Sambung Belajar Atau Bekerja Selepas Habis SPM?
Bismillah.
Assalamualaikum.
Antara dilema pelajar selepas tamat SPM adalah mahu sambung belajar atau bekerja. Mahu pilih yang mana satu?
Mahu Sambung Belajar Atau Bekerja?
Insyaallah, dalam artikel ini kita akan berbincang mengenai isu ini.
Tanya Diri Sendiri
Anda perlu tanya pada diri sendiri. Mahu sambung belajar atau mahu bekerja?
Jika sambung belajar, yang akan sambung belajar itu nanti anda. Yang akan membuat pinjaman pendidikan itu nanti anda. Yang perlu membayar semula hutang pinjaman pendidikan itu juga nanti anda.
Tiada jawapan salah atau betul terhadap keputusan mahu sambung belajar atau bekerja. Setiap individu mempunyai matlamat yang berbeza. Matlamat itu pula boleh dicapai dengan pelbagai cara.
Sebelum membuat keputusan akhir, teliti dahulu kelebihan dan kekurangannya.
Sebagai pelajar, anda boleh gunakan kelebihan itu untuk meminta pandangan mereka yang lebih arif. Mereka pasti berbesar hati untuk memberikan pandangan mereka.
Di sekolah, anda boleh minta pandangan guru. Di rumah, anda boleh minta pandangan ibu bapa serta ahli keluarga. Atau mungkin, anda boleh bertanya terus kepada mereka yang telah berjaya di dalam bidang yang mereka ceburi.
Baca: [ Bagaimana Cara Mohon Kerja Kosong Kerajaan? ]
Jangan Ikut Kawan
Jangan sambung belajar sekadar ikut kawan. Bahaya! Matlamat mereka mungkin tidak sama dengan matlamat anda.
Contohnya, kawan anda bercita-cita mahu menjadi jururawat. Sebaliknya pula, anda meminati bidang komputer. Kawan anda sangat meminati kerjaya jururawat lalu membuat keputusan untuk menyambung belajar di dalam bidang kejururawatan.
Disebabkan minat yang mendalam, kawan anda itu mempunyai motivasi secara dalaman. Sebarang cabaran ketika dalam pengajian itu tidak mudah mematahkan semangatnya untuk berjaya.
Jika anda sambung belajar di dalam bidang kejururawatan kerana mengikut kawan tetapi anda tidak minat terhadap kursus yang diambil, anda mungkin lebih mudah untuk berputus asa apabila menghadapi cabaran ketika dalam pengajian kelak.
Tetapi jika anda masih juga ingin mengikut kawan sambung belajar, MINAT itu boleh DIPUPUK. Sekiranya anda berjaya diterima masuk sambung belajar. Berusaha sebaik mungkin.
Ramai orang lain di luar sana yang ingin sambung belajar tetapi tidak berjaya.
Ibu Bapa Minta Sambung Belajar
Ada juga dalam kes tertentu, pelajar tidak lagi mahu sambung belajar dan mahu bekerja. Tetapi ibu bapa meminta mereka untuk sambung belajar.
Jika ini terjadi, apa yang boleh dilakukan?
Mohon supaya anda berbincang dengan mereka terlebih dahulu.
Berbincang dengan orang tua anda secara berhemah. Beritahu kepada mereka keputusan anda dan berikan sebab kenapa anda membuat keputusan sedemikian.
Insyaallah mereka boleh memahami dan emnghormati keputusan anda.
Perkara Yang Perlu Dipertimbangkan Untuk Sambung Belajar
Apa yang perlu dipertimbangkan jika mahu sambung belajar?
1. Laluan Kerjaya
Apakah kursus yang anda ambil itu seiring dengan laluan kerjaya dan cita-cita yang anda ingin capai?
Jika ya boleh teruskan.
Jika tidak, anda mungkin perlu fikirkan semula keputusan tersebut.
2. Kos Pengajian
Bagaimana anda akan membiayai kos disepanjang pengajian? Biasiswa FaMa (Father + Mother), pinjaman pendidikan? Atau dari sumber lain?
Kos pengajian berbeza mengikut kursus yang diambil. Kos pengajian di kolej/universiti swasta umumnya adalah lebih tinggi berbanding kos pengajian di kolej/universiti awam.
Jika anda mengambil pinjaman pendidikan, sudah tentu pinjaman itu perlu dibayar selepas tamat pengajian.
3. Kos Sara Hidup
Bagaimana anda akan menampung kos sara hidup ketika belajar?
Gunapakai duit pinjaman pendidikan? Biasiswa FaMa? Berniaga? Bekerja part-time? Atau bagaimana?
Baca: [ Bagaimana Mohon Kerja Kerajaan Tanpa Melalui SPA? ]
Perkara Yang Perlu Dipertimbangkan Jika Mahu Bekerja
Apa pula perkara yang perlu dipertimbangkan jika mahu bekerja selepas SPM?
1. Tetapkan Matlamat Bekerja
Apakah perancangan jangka panjang anda? Sebagai contoh cuba bayangkan situasi ini.
Ali ingin membuka perniagaan menjual burgernya sendiri. Tetapi Ali tidak mengetahui langsung selok-belok perniagaan menjual burger.
Oleh itu, Ali membuat keputusan untuk bekerja dengan Pak Mat supaya beliau dapat belajar secara terus dengan Pak Mat tentang perniagaan menjual Burger.
Ali merancang untuk membuka perniagaannya sendiri selepas tempoh 1 tahun. Ali bekerja bersungguh-sungguh untuk mengambil pengalaman menjual burger sambil mengumpul modal.
Tetapkan matlamat apa yang mahu dicapai dalam pekerjaan yang anda pilih.
2. Tambah Pengetahuan, Kemahiran & Networking
Kita tidak perlu masuk ke kolej untuk terus belajar. Ketika bekerja pun kita masih boleh menimba ilmu.
Belajar dari rakan sekerja atau belajar dari senior di tempat kerja. Sentiasa cuba untuk belajar dan tambah pengetahuan.
Sambil bekerja, cuba untuk luaskan lingkungan kawan-kawan anda. Sentiasa membina networking dan jangan menambah musuh.
Bekerja Sambil Belajar
Khusus untuk mereka yang meminati bidang kejururawatan, anda boleh memasuki Latihan Separa Perubatan.
Kursus ini ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kelebihan kursus ini adalah kos pengajian ditanggung sepenuhnya oleh pihak KKM.
Terdapat 10 kursus peringkat diploma dan 2 kursus peringkat sijil yang ditawarkan.
Untuk maklumat lanjut, baca artikel Cara Menjadi Jururawat Selepas SPM.
Buat Dengan Bersungguh-Sungguh
Apa pun keputusan yang anda ambil, buat dan laksanakan ia dengan bersungguh-sungguh. Berjaya atau tidak itu belakang cerita.
Semoga artikel ini bermanfaat buat anda dan jangan lupa untuk kongsi dengan rakan-rakan anda.