Tips Memilih Pakaian Untuk Temuduga Kerja
Pakaian temuduga yang bagaimana ingin anda pilih?
Sudah pasti anda ingin memilih pakaian yang boleh menonjolkan imej profesional. Ini boleh dilakukan dengan memilih pakaian yang bersesuaian dengan jawatan, pangkat dan bidang kerjaya anda.
Pilih Pakaian Bersesuaian
Pakaian yang anda gayakan menyampaikan mesej non-verbal kepada orang yang melihat anda.
Pakaian boleh memberitahu banyak perkara tentang diri pemakainya.
Karakteristik, sikap, personaliti, tahap profesionalisme dan juga tahap keyakinan diri, semua ini dapat diketahui dari pakaian yang anda pilih.
Untuk pakaian temuduga, anda boleh memilih dari:
- Pakaian formal dan konservatif atau,
- Pakaian kurang formal dan kurang konservatif.
Bagi industri dalam bidang kreatif, hiburan, dan kecantikan, anda boleh memilih untuk menggayakan pakaian temuduga yang kurang formal dan kurang konservatif.
Tetapi untuk industri dalam bidang pentadbiran, undang-undang, perubatan dan akademik, anda perlu memilih pakaian temuduga yang lebih formal dan konservatif.
Jika anda kurang pasti mahu memilih pakaian yang bagaimana, sentiasa pilih pakaian temuduga yang formal dan konservatif.
Pilihan ini lebih selamat .
Baca: [ Cara Mohon Kerja Kerajaan Tanpa Melalui SPA ]
Pemilihan Warna Pakaian
Warna boleh menyampaikan mesej yang berbeza.
Sebab itu anda jangan sesuka hati memilih warna yang sebarangan untuk pakaian temuduga. Kesilapan memilih warna pakaian akan membuatkan anda kelihatan serabut.
Warna pastel yang lembut adalah antara pilihan warna yang selamat. Begitu juga dengan warna natural seperti warna putih, biru, coklat, kelabu dan hitam.
Tetapi hati-hati sekiranya anda memilih pakaian temuduga yang berwarna gelap.
Warna gelap memberi mesej kuasa dan wibawa. Warna ini kurang sesuai digayakan oleh mereka yang baru tamat belajar. Walaupun begitu, anda boleh memilih warna gelap untuk seluar, kain ataupun skirt yang anda pakai.
Sewaktu memilih pakaian, pastikan warnanya tidak terlalu meriah. Sebaiknya, pakaian anda itu tidak melebihi 3 kombinasi warna.
Pemilihan Corak Pakaian
Jika anda mahu selamat, pilih pakaian temuduga yang bercorak polos, berjalur ataupun bertekstur kecil. Elakkan pakaian dengan corak yang serabut dan berwarna-warni yang keterlaluan.
Corak pada pakaian temuduga yang keterlaluan boleh menggangu mata panel temuduga. Ia juga membuatkan anda kelihatan kurang serius untuk menghadapi temuduga.
Baca: [ Ciri-Ciri Fresh Graduate Yang Bakal Gagal Temuduga Kerja ]
Pemilihan Fabrik Pakaian
Bagi lelaki, mungkin tak ada apa-apa isu sangat tentang fabrik pakaian mereka.
Tetapi bagi wanita, anda perlu prihatin tentang fabrik pakaian anda. Bukan semua fabrik sesuai sesuai untuk pakaian temuduga.
Walaupun anda boleh memilih mana-mana fabrik yang selesa untuk dipakai tetapi elakkan memilih fabrik yang jarang dan mengikut bentuk badan. Fabrik pakaian seperti chiffon dan lycra tidak sesuai untuk sebarang pakaian temuduga kerja.
Pemilihan Aksesori
Sewaktu menghadiri temuduga, anda disarankan supaya tidak memakai lebih dari 5 aksesori. Dan pastikan aksesori yang anda pakai itu senonjolkan imej sesuai dengan jawatan yang anda mohon.
Jika anda memilih pakaian temuduga yang formal dan konservatif, pastikan aksesori yang anda pilih juga sepadan dengan pakaian anda.
Semoga Berjaya
Kami harap artikel ini dapat membantu anda memilih pakaian temuduga yang sesuai. Insyaallah kami akan menulis artikel lain tentang pakaian temuduga bagi lelaki dan juga pakaian temuduga bagi wanita.